Sepanjang dua minggu di maktab sejak mula mendaftarkan diri sebagai guru pelatih tidak pernah sunyi dengan pelbagai aktiviti. Ada-ada sahaja yang dibuat bersama-sama teman yang baharu dikenali.
“Ko Nampak buku ni?”
“Ya, Nampak bang.”
“Ko cari sorang-sorang, sorang-sorang, sorang-sorang, sorang-sorang dan minta tandatangan daripada mereka.”
“Pastikan dapatkan nama panggilan masing-masing.”
“Baik, bang.”
Tiga ratus nama perlu diminta tandatangan. Kepalaku berlegar-legar mencari cara dan alasan. Di mana hendak cari dan bagaimana hendak mengenali mereka? Soalan ini berputar-putar dalam benak fikiran. Hidup menjadi huru-hara dalam tempoh dua minggu ni kata hatiku.
“Ok, malam ni kita ada persembahan di Lorong Md Taib.”
“Jangan tak datang.”
“Pastikan datang awal.”
Wah tentu seronok dengan persembahan, apatah lagi rumah sewaku di belakang Kedai Tuak Kerajaan itu tidak bertelevisyen mahupun bertetuang udara.
“Jangan lupa bawa sekali buku tadi ya”
Inilah peluang untuk mendapatkan seberapa banyak tandatangan abang dan kakak senior. Kalau boleh jumpa semua ketiga ratusnya lagi bagus, cepat selesai masalah. Malam itu kami semua selesai solat Isyak berkumpul di sebuah rumah sewa di Lorang Md Taib. Sebuah rumah yang bentuknya hampir menyerupai rumah sewaku itu, menjadi tempat perhimpunan kami. Kami diminta memperkenalkan diri seorang demi seorang, cita-cita, asal dari mana, dan apa keistimewaan yang ada pada diri masing-masing. Aku tak pasti apa keistimewaan aku, kebetulah aku ada belajar menyanyi lagu dari rakan sekelas sewaktu di sekolah menengah, aku memaklumkan bahawa aku pandai menyanyi lagu tersebut “ Shong Hoi Tan” atau maknanya “Sungai Sanghai”. Kalau sudah itu yang aku katakan sebagai kemahiran yang aku ada, terpaksalah menyanyi walaupun betul atau tidak lirik yang disebut, asalkan menyanyi.
Bermacam-macam perkara yang kami lakukan, ada yang disuruh berlakon, ada yang disuruh membuat persembahan pancaragam, semuanya menggunakan suara dan kemahiran bunyi yang ada pada diri masing-masing. Yang penting aku dah selamat menyanyikan lagu Cina dan tak disuruh lagi untuk melakukan perkara yang lain. Bagi badan yang six, five, four, two mahupun one pack, inilah peluang menunjukkan body masing-masing. Masa inilah pemilihan Mr Jelutong, Mr Counterhall, Mr Air Itam dan berbagai-bagai Mr lagi. Ini aktiviti yang lelaki, yang perempuan tak tahu pula aktivitinya.
Lagu berganti lagu, acara berganti acara, senduk, periuk, baldi, selipar dan segala peralatan di rumah menjadi perkusi bagi dendangan lagu dan persembahan kami. Bukan satu malam, bukan dua malam tetapi banyak malam kami terpaksa berbuat demikian. Aku nak marah, nak kecewa, nak geram, tak terungkapkan, akhirnya aku pasrah sahaja kerana yang pasti hanya satu lagu itu aku terlepas banyak perkara. Itulah kelebihannya tahu menyanyi lagu berbahasa asing.
“Ko pergi cari Lobo Super Senior, Lobo Senior. Cari sampai dapat dan minta tandatangan.”
“Siapa nama abang-abang Lobo ni, bang?” aku tertanya-tanya.
“Cari sendiri, usaha sendiri, hafaz sendiri, kenal sendiri, tahu sendiri.”
Hmmm… lagi kronik kalau dibandingkan dengan penyakit kronik. Berapa banyak Lobo di maktab. Barangkali mirip kepada watak Sherif Lobo dan satu drama polis di televisyen, langsung asal yang berbadan ketul-ketul dan one pack, dipanggil Lobo. Itulah dilema yang dihadapi oleh kami dalam minggu orientasi ini.
“Maaf bang, boleh saya tahu yang mana satu, abang Lobo Super Senior?”
“Yang kurus tu…”
“Maaf bang, abang ni abang Lobo Super Senior ya?”
“Bukan, bukan, yang hensem sana tu.”
“Terima kasih, bang.”
“Maaf bang, abang ni abang Lobo Super Senior, ya?”
“Bukan, bukan, yang kurus tu… sana.”
Apa ko rasa? Rasa Oren. Tapi semuanya aku harungi dengan santai, sebab kata orang bijak pandai, ular bisa kalau menyusur akar tidak hilang bisa bai. Lepas seorang, seorang, tapi seronok kerana dapat mengenal super senior, senior dengan pelbagai nama dan gelaran. Yang baik, yang sopan pun ramai. Mula-mula garang gila tapi kemudian dialah orang yang disayang dan diangkat sebagai Abang Super Senior paling baik, Abg Rashid.
Biasanya kalau tiada persembahan malam, kami habiskan dengan mendengar dan mempelajari lagu baru dari Kedai Tuak Kerajaan yang ada di hadapan rumah. Masalahnya tak boleh diikut sangat kerana ada kalanya rentak tak sama bunyi. Tapi itulah hiburan buat dua minggu orientasi ini. Bukan setakat di rumah, malah di maktab juga berterusan tradisi ini. Kalau waktu petang akan dilakukan sukaneka yang pelbagai ragam aktvitinya. Masing-masing kena mempamerkan pakaian beragam. Entah mengapa aku meminjam skirt kakak senior yang berjaya aku tawan hatinya dengan lagu Cina. Aku pakai sahaja tanpa fikir, baju T tidak berkolar datang dari Aussie pemberian rakan baikku sewaktu sekolah rendah yang sudahpun memulakan pengajian di Brisbane, Aussie, menjadi bajuku. Bersama-sama rakan lain berjimba-jimba di padang bersebelahan Island Primary Girl School dengan pelbagai aktiviti dan ragam. Bukan sahaja bersukaneka tetapi juga melakukan tabik spring, cuk kanan, cuk kiri, ceku ceku ah, ceku ceku eh dan macam-macam lagi.
Kemuncaknya adalah pada malam penghormatan, setiap guru pelatih akan ditanggalkan tali leher oleh Super Senior sebagai tanda penerimaan sebagai ahli dalam pelatih di maktab. Malam itu Kak Rozita membuka tali leherku dan aku memberikannya sekuntum bunga ros merah sebagai tanda penghargaanku kepadanya. Itulah kakak angkatku sewaktu di maktab pada ketika itu.
Waktu mengeram dan berdiam begini (PKP), kenangan lalu menjelma tidak kira waktu. Walaupun aku menerima pelbagai dugaan dan sering diperlakukan dengan perkara yang aku rasa kurang wajar tapi tidaklah sampai diistilahkan sebagai ‘ragging’. Tapi hikmahnya dengan apa-apa yang aku alami itu, hubungan kami dalam keluarga kecil maktab kami sangat akrab. Malah aku sudah mengenal Lobo Super Senior, Lobo Senior dan Lobo Junior (Arwah Lobo). Walaupun mereka memperlakukan aku sebegitu tetapi rasa hormat aku terhadap mereka tidak pernah luntur kerana bagiku, semuanya itu ada hikmah dan kebaikan yang kita tidak tahu pada masa hadapan. Walaupun rasa memberontak wujud pada saat dan ketika itu, tetapi selepas sahaja Minggu Orientasi tamat, maka semuanya turut tamat dan semuanya menjadi sediakala, malah ukhwah, bantuan dan apa-apa sahaja yang dilakukan akan menjadikan kami lebih kuat dan bersatu. Begitulah juga kalau kita bersatu dalam mengharungi COVID-19, segala dugaan, halangan dan apa-apa sahaja yang berlaku sepanjang masa PKP ini akan dapat kemanisannya di akhir nanti. Aku percaya pada rahsia Allah SWT.
Al-fatihah buat Sahabatku Rusmadi, Lobo, Maruding dan beberapa orang yang lain yang sudah menutup usia lebih awal. Insya-Allah nanti giliran kami.

Comments
Post a Comment