“Awak asal dari mana?”
“Batu Pahat.”
“Awak asal dari mana?”
“Saya daripada Mengelembu, Ipoh. Tau apa yang terkenal di Mengelembu?”
“Tentu banyak lembu tempat tu.”
Nampak sangat duniaku sempit. Namun sebenarnya aku sengaja membodohkan
diri. Aku tahu Mengelembu ialah tempat pengeluar kacang yang terbaik di
Malaysia. Kacang Mengelembu. Tanahnya subur untuk menanam pokok kacang tanah
dan hasilnya aku sering makan kacang cap tangan datangnya dari daerah
Mengelembu di Ipoh ini.
Aku selalu mengusik rakan sekelasku Yap. Aku tidak hidup bersendirian dalam dunia yang terbatas. Kebetulan kelas 3.1 hingga 3.4 terdiri daripada pelatih yang mengambil jurusan PPAK (AM) atau Pengajian Pendidikan Alam Kanak-Kanak subjek Am dan PPAK (BC) Pengajian Pendidikan Alam Kanak-Kanak Subjek Bahasa Cina, maka kelas kami tidak dianggotai oleh satu kaum sahaja. Hubungan kami memang rapat, berbincang, belajar sama-sama, bersukan bersama-sama, bergaduh bersama-sama kecuali apabila kami belajar tentang subjek major Bahasa Melayu, rakan-rakan berbangsa Cina akan masuk ke kelas Bahasa Cina, tetapi bagi mata pelajaran pendidikan, kami belajar bersama-sama dalam kelas. Oleh sebab di dalam kelas ada dua bangsa iaitu Melayu, dan Cina maka kenalan kami yang berbangsa India biasanya datang dari kelas TESL atau kelas bahasa Inggeris iaitu kelas 3.5. Mereka tidak ramai tapi mereka wujud seperti Nathan, Gopal, Vasanthi, Ardalu, Subathira, Paul Manikam yang hensem, Siva, dan Rajan. Biasanya rakan sekelas ialah rakan yang kita sama-sama belajar tetapi rakan yang akrab biasanya datang dari kelas yang sama dan kelas yang berlainan juga berlainan seperti Yap Wai Kwan, Saparudin, Asmah Laili dan juga Kak Ros kerana adakalanya terpaksa melakukan sesuatu kerja dalam kumpulan yang sama. Apatah lagi dengan jumlah pelatih antara 25 hingga 26 orang satu kelas mana mungkin kami tidak bertegur sapa.
Selain belajar bersama-sama dalam kelas, segala aktiviti kokurikulum juga turut sama-sama kami sertai. Tiada pengasingan kaum dan kami memang sudah belajar bersama-sama sejak awal mendaftar, cuma tempat tinggal sahaja yang berasingan. Bagi pelatih Melayu mereka tinggal bersama-sama begitu juga dengan bangsa lain. Antara keunikan maktab kami ialah merupakan maktab terkecil di Malaysia dengan kapasiti bawah seratus orang bagi setiap batch, dan pengajian selama 3 tahun menjadikan jumlah pelatih di maktab kami lingkungan 300 orang lebih sahaja. Sebab itu kami begitu akrab dalam apa-apa jua aktiviti yang disertai kerana hari-hari berjumpa dengan orang yang sama. Dunia kecil maktab kami.
Yang aku ingat hanya ada beberapa unit beruniform sahaja yang ada di maktab ketika itu, salah satu daripadanya ialah Pergerakan Pengakap St John Ambulance dan Pandu Puteri. Aku dipaksa rela untuk menyertai St John Ambulance kerana ingin mencari kelainan walaupun sejak sekolah rendah dan menengah aku memang ahli pengakap. Sekali berpengakap selamanya berpengakap. Ada suatu masa kami melakukan aktiviti perkhemahan di Bukit Bendera. Ketuanya ialah Meor. Si Meor ni mesti libatkanku dalam aktiviti yang dirancangnya itu, walaupun aku tidak ada apa-apa jawatanpun dalam persatuan. Setelah merancang dengan baik Persatuan St John Ambulance maktab bersama-sama menjayakan program tersebut. Masing-masing membawa barang-barang yang ditentukan supaya sewaktu berada di puncak Bukit Bendera, segala apa-apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam perjalanan Md Zain bermain gitar dan kami sama-sama bernyanyi riang. Perjalanan dari maktab ke Bukit Bendera tidaklah jauh mana tetapi pengalaman seperti ini sangat bermakna.
Dua buah rumah penginapan disewa di Bukit Bendera. Kami menaiki kereta api Bukit Bendera bersama-sama barang-barang yang dibawa. Sudah sampai ke puncak kami berkumpul untuk sama-sama ke rumah penginapan yang terletak di lereng Bukit Bendera tidak jauh dari stesen kereta api itu. Itulah pertama kalinya kami berkumpul dan mengadakan aktiviti bersama-sama. Malam itu kami habiskan dengan aktiviti eyes breaking dan mempersembahkan bakat terpendam masing-masing. Kumpulan kami yang diketuai oleh Meor turut melibatkan sahabat lain seperti Saparudin, Azman, Nathan (Nazri), Hazman, Kamaruzaman, Rahman Naim, Khor (Firdaus), Jamil Saudin, Maruding, Yahya Khalid, Anuar Sha’ari, Zulkifli Wahab, Fauzi Hasbullah, dan rakan-rakan berbangsa Cina seperti Lau Chooi Yuk dan Chin Swee Leong. Turut bersama-sama pada kali ini ialah Zakaria Jalil, namun hanya beberapa bulan sahaja selepas itu dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke USM dan meninggalkan kami di maktab, tetapi kenangan dan hubungan baik dengannya tak pernah dilupakan hingga sekarang.
Kali ini aku tidak terlibat banyak dalam perkhemahan ini cuma banyak membantu di bahagian makanan kerana memang aku ditugaskan untuk membantu mereka selain mengendalikan aktiviti permainan. Aktiviti pada malam itu berlarutan hingga lewat malam. Ahli St John Ambulance yang perempuan balik ke rumah yang mereka kongsi bersama-sama selepas makanan yang kami masak dan kami bawa habis di makan. Suasana dingin malam dipuncak Bukit Bendera memang mengasyikkan.
Pada waktu itu, kami tidak mempunyai kamera DLSR yang canggih sebagaimana sekarang, telefon pintar dengan kamera pun tidak dikenalkan lagi pada waktu. Kamera kami berisi filem. Filem Kodak namanya, sama ada berisi 36 slot gambar atau 24 slot gambar. Pada waktu itu aku tidak mampu lagi membeli kamera, sebaliknya hanya bergambar dengan rakan-rakan yang sudah memiliknya lebih awal. Kamera manual yang terpaksa memasukkan sekoci filem ke dalamnya, dan difokus secara automatic menggunakan flesh segi empat yang hanya boleh mengambil 4 keping gambar terutama pada waktu malam. Jauh sekali kamera digital atau DLSR sebagaimana yang ada sekarang ini. Pada waktu itu komputer pun masih belum diperkenalkan lagi Namun kami masih boleh mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar secara manual menggunakan kamera manual sahaja.
Malam yang dingin diharungi bersama-sama. Kami tidur mengerekot pada malam itu kerana tidak menyangka Bukit Bendera yang begitu dingin terutama sepertiga malamnya. Hanya baju sweater yang dapat mengurangkan kesejukan badan namun bahagian bawah masih sejuk kerana ketika itu kebanyakan kami berseluar slack sahaja. Bersembang tentang kenangan masing-masing di samping melayan malam di puncak bukit, mengingatkan kami akan ketenangan kampung. Bunyi jengkerik dan reriang hutan pada waktu malam selain pemandangan lampu yang dapat dilihat dari puncak bukit, Bandar Georgetown memang mengagumkan. Kelibat cahaya lampu dari Menara Komtar yang masih sebahagiannya dalam pembinaan selain jeti yang menjadi tempat berlabuhnya feri berbalam-balam dilihat dari kejauhan.
Tidak terfikir tentang ‘makhluk’ di puncak bukit tersebut, akhirnya aku terlelap dipeluk dada malam hingga dini hari. Tetapi tabiatku yang sukar dipadam ialah akan bangun lebih awal untuk menggunakan kemudahan awam yang ada dalam rumah terbantut pada hari itu kerana tiba-tiba bulu romaku meremang. Nampaknya ‘makhluk’ tersebut menyapa aku sebagai penghuni baru. Aku akhirnya sengaja melewatkan bangun untuk solat subuh asalkan aku tidak terserempak dengan ‘makhluk’ itu.







Comments
Post a Comment