“Kita pindah ajelah ya.” Aku memberikan
cadangan.
“Mana nak cari rumah?” Tanya Hamdan
beriya-iya.
“Nanti kita carilah. Bukan tak
best duduk sini, cuma susah pasal bilik air aje.”
Tidak genap sebulan berada di
Jelutong, kami berhasarat mencari rumah yang lebih selesa, tetapi dengan
keadaan baharu nak belajar hidup, mencari rumah untuk disewa agak sukar di
Georgetown. Kalau ada pun harga sewanya memang tinggi. Tapi berkat usaha Ayi,
salah seoradng rakan satu batch mencadangkan sebuah rumah di Taman Abidin Pulau
Pinang ada untuk disewa. Kami berbincang tentang siapa yang harus ditambah
untuk mengurangkan bayaran sewa bulanan.
“Siapa lagi yang nak ikut, Dan?”
“Kita berempat, lepas tu Zack dan
Ayi. Jadi enam orang semuanya.”
“Aku, Hamdan dengan Ayi satu
bilik. Hamdan, Said dengan Men satu bilik.”
Kami akhirnya akur dan bersetuju
untuk berpindah, dengan sewa yang agak tinggi di Pulau Pinang, tetapi dengan
adanya enam orang tidaklah membebankan sangat. Maka tanpa fikir panjang, kami
setuju untuk duduk serumah. Flat Abidin di Jalan Perak bersebelahan Jalan P
Ramlee, rumah kelahiran P Ramlee.
Selepas bersetuju dan membayar
deposit rumah yang semuanya diuruskan oleh Ayi, kamipun berpindah ke rumah
tersebut. Apabila menyebut pasal flat bermaksud rumah bertingkat atau rumah
pangsa dua bilik, satu bilik air, satu ruang dapur dan satu ruang hall. Oleh
sebab badan kami munggil dan comel aje, maka kelibat enam orang dalam rumah
tidak pernah menyesakkan. Rumah kosong, tanpa katil, tilam, almari, dapur,
menjadikan kami memulakan hidup di rumah bujang dengan perpindahan yang kedua
sejak berada di Pulau Pinang. Dengan duit bekalan mak dan bak yang tidak seberapa,
kami membeli beberapa keperluan seperti katil tingkat, tilam dan bantal serta
keperluan dapur yang baharu kerana kami berhasrat menggunakan dapur gas
berbanding dapur elektrik sebelum ini.
“Hangpa mai dah. Baguih. Baguih.”
“Ni Encik Che Rose, seorang guru
dan ini Puan Johara Bee, isteri Encik Che Rose.”Ayi memperkenalkan kami kepada
mereka.
“Tak perlulah hangpa nak panggil
kami encik puan bagai. Panggil saja abang dan kakak saja no.”
“Alamak pekatnya.”
Dalam tempoh tidak sampai
sebulan, kami terpaksa belajar secara instant beberapa perkataan asli utara
yang pure dan begitu asing buat kami warga selatan. Aku, Hamdan, Said, Zack
asal dari Johor, Ayi dari Selangor dan Men pulak dari Sungai Petani Kedah. Men
sahajalah harapan kami untuk menterjemah perkataan-perkataan utara yang asing
bagi kami. Men ni pun loglaq juga kadang-kadang dia pekena kami, istilahnya
pedajai (pedajal). Hang ingat no Men, you make me one, I’ll make you thousand.
Selepas sebulan kami duduk serumah di Jelutong dengan pelbagai kerenah,
masing-masing mula menunjukkan belang di hidung. Men ni sebenarnya pelawak,
suka pekena orang, namun dia baik. Kami sayang dia sebab apa? Sebab kalau dia
balik Sungai Petani, Kampung Sungai Layar dia tu, pasti bawa balik makanan.
Mana tak sayang kat dia, lagipun adik dia comel, tak kisahlah walaupun masa tu
adik dia masih tadika. Aku nak bela. Tapi sampai sekarang Men tak berani beri
kami usik adik dia.
“Kalau sepuluh sen tu kat sini
panggil sekupang. Tapi kalau 10 kupang tu tak payah lah hangpa panggil sepuluh
kupang no.”
“Hak tu kami tau la, Men oi. Hak
tu panggil seringgit.”.
“Baguih. Baguih, kalau lima sen
nak panggil apa?
“Krik…krik…”
Kalau bab belajar bahasa utara
ni, memang riuh kami dibuatnya, tapi loghat utara ni pelik sikit, kalau kucing dipanggil kucin,
kalau basikal dipanggil gerek, kalau selipar kenapa tak panggil selipaq atau
selipak, tapi dipanggil selipar juga. Yang tu Men pun tak tau nak jawab.
“Hangpa dah makan ke belum ni?” Tanya
Kakak Johara
“Belum makan lagi kakak, baru balik ni. Kami cadang nak masak.”
“Ha, ni ada kari ikan. Hangpa
makan la na.”
Hamdan, memang suka melayan abang
dan kakak sebelah. Aku tak pasti Hamdan sebut terima kasih atau tidak pada Kak
Johara dengan pemberiannya tadi. Kari kepala ikan merah. Mak ai, Tentu sedap
kari ni, apatah lagi yang memasaknya Penang mari, anak Mami. Tengah hari tu
kami masak nasi sahaja kerana dapat lauk sedap dari rumah sebelah. Kalau
hari-hari macam ni memang bagus tapi kami tak boleh mengharapkan pemberian
orang sahaja. Asam pedas perlu dimasak juga sebagai melepaskan rindu makan di kampung.
“Abang Dan, tak nak kenalkan
kawan-kawan Abang Dan ka kat kami?”
“Oh, Muni. Dari mana ni Muni?” Tanya
Hamdan.
“Kami pi tuisyen tadi,
perkenalkan ini Zurin dan yang ini Ani.”
Ulat Bulu dah naik daun… Macam
dalam filem P Ramlee. Kami gelak sama-sama. Ini abang Inu, ini abang Jamil, ini
abang Said, ini abang Zack dan ini abang Ayi.
“Abang Ayi tak payah bagitau.
Kami kenal dah.”
Muni dan rakan-rakannya gelak-gelak
kecil dan berlari-lari anak terus masuk ke rumah. Rumah Muni ni sebelah rumah
kami aje. Munilah anak Kakak Johara dan Abang Che Rose. Walaupun kami ni beza
umur tapi tak jauh pun bezanya. Aku, Dan, Said berumur 19 tahun, Ayi dan Men
tua sedikit dan Zack tua banyak. Kalau dibandingkan beza umur aku dengan Muni
dan rakan-rakannya yang masih bersekolah tu berbeza dua atau tiga tahun sahaja.
Masa itu mereka tingkatan empat, aktif dalam kokurikulum dan Muni tu orang kuat
Kadet Polis, dan Alhamdulillah sekarang bergelar Datin Muni dan suaminya
tentulah abang PDRM. Dari gelak-gelak mereka tu, aku yakin mereka melting
dengan kami. Abang-abang hensem sebab tu kami layan baik-baik mereka. Selain
Zurin, Ani ada seorang lagi rakan mereka June. Kami ni kadang-kadang terhibur
juga dengan keletah mereka. Tapi yang ketara salah seorang daripada mereka tu
sangat rapat dengan salah seorang daripada kami dan salah seorang kami
merupakan crust salah seorang daripada mereka juga. Tak boleh bagitau, itu
semua rahsia kami.
Dengan jiran tetangga, hubungan
kami memang baik. Berani hangpa nak jadi taiko kat situ. Semua kami panggil
mami. Seronoknya tinggal di Flat Abidin ni time hujung minggu kami Sabtu dan
Ahad. Mula pukul 9 pagi flat sudah riuh rendah dengan mesyuarat tingkap. Kali
pertama kami berasa janggal juga tapi lama kelamaan kami sudah biasa. Persatuan
ibu-ibu suri mula bersembang pukul 9 pagi. Rasanya bukan pada hari Sabtu dan
Ahad sahaja, hari-hari yang lain juga mereka bersembang dengan keadaan yang
sama.
“Iṉṟu
nīṅkaḷ eṉṉa camaikkiṟīrkaḷ?”
“Mīṉ kaṟi”
Hangpa
faham tak? Kami pun tak faham. Tapi kami buat-buat faham. Akhirnya kami
faham. Seronoknya bermula pukul 9 pagi
mereka mula mengeluarkan senjata di luar pintu rumah masing-masing. Oleh sebab
rumah kami berhadapan, maka kami dapat melihat dengan jelas apa yang mami-mami
semula buat. Senjata mereka ialah batu giling, cili kering dan segala rempah
dan bahan untuk digiling. Hari-hari mereka akan memulakan aktiviti yang sama
tepat pukul sembilan.
Kruk
Kruk Kruk
Kruk
Kruk Kruk
Tepat
pukul 10.30 pagi aktiviti menggiling berhenti. Sebentar selepas itu, bau harum
daun kari ditumis dalam kuali. Apabila segala rempah dan bahan mula diadun di
dalam kuali ataupun periuk, bau satu Flat Abidin tu sangat harum. Bau setiap
sudut sama. Mesti rempah dan resipinya sama. Masak kari. Sebab itu kalau tinggal
di Pulau Pinang atau panggilannya tanjung, kalau tak makan kari memang tak sah.
Kehebatan orang tanjung mestilah pandai masak kari. Sebab itu Nasi Kandar yang
terbaik ialah rempah kari asli yang dibuat sendiri dengan sukatan dan resepi
rahsia keluarga turun temurun. Masak kari tanpa santan itulah spesialiti
mereka. Mami kami lapar dan rindu suasana itu di Flat Abidin. Inilah indahnya
duduk sebelah rumah Mami, dan anak perempuan kepada mami akan dipanggil Combi,
tapi Muni kami taklah panggil Combi tapi kami panggil dia ‘Sis’.
Oleh sebab selalu mendapat
makanan dari Kak Johara dan disebabkan selalu bergilir-gilir masak di rumah,
kami mulai pandai memasak. Sedap tak penting tapi kenyang yang utama. Ada
ketikanya kami bertanya juga resipi daripada Kak Johara dan meminta panduannya
memasak.
Berkat tunjuk ajar Kak Johara
kami sudah pandai memasak. Kak Johara ni bukan calang-calang orang kerana
pernah masuk televisyen dalam satu rancangan masak dan pertandingan masak. Subjek
Ekonomi Rumah Tangga yang terpaksa dipelajari oleh semua guru pelatih selama 3
tahun sudah tidak menjadi janggal kepada kami sebab itu kami sudah pandai
belajar memasak dan menguruskan rumah tangga. Tahun pertama, kami diminta
belajar menjahit. Kami diminta menjahit Sehelai apron, sehelai sarung tangan
dan sehelai saprah kecil. Pernah juga meminta bantuan Kak Johara dengan
meminjam mesin jahitnya untuk menjahit tugasan kami tetapi corak pada apron,
saprah dan sarung tangan kenalah kami buat sendiri. Setakat jahitan sulam
pangkah, jahit jelujur dan sembat, jangan temberang kami. Pada malamnya kami
bersama-sama menjahit dan menyiapkan assignment apron, sarungm tangan dan
saprah tersebut. Setakat tercucuk jarum dan berdarah jari tangan tidak menjadi
hal kepada kami.
Selain meniru gaya memasak
mami-mami di Flat Abidin, dan menjahit tugasan kami, masa banyak dihabiskan
dengan duduk bersama-sama. Hujung minggu kami berjalan-jalan sekitar pulau
termasuk ke Bukit Bendera, kami juga belajar mencari uban dan kutu. Orang kata
belajar melalui peniruan itu sangat
penting. Tengok sahaja muka Ayi yang suka berbedak sejuk dan mencabut uban yang
ditiru daripada mami-mami di Flat Abidin memang sukar dilupa dan dipisahkan.
Keakraban kami berenam dan keakuran kami terhadap tugasan serta kerukunan dalam
bermasyarakat kami jadikan sebagai landasan hidup berjiran. Dua minggu
berkurung di rumah menjadikan kami sudah biasa melalukan kerja-kerja rumah selain
membantu suri memasak Cuma bab mengemas kami surrender. Kalau PKP bersambung
dua minggu lagi kami sudah tahu apa yang hendak dibuat di rumah.
Al-fatihah buat Allahyarhamah
Kakak Johara Bee dan Arwah Hamdan. Syurga buat kalian berdua.



Comments
Post a Comment