
BAB 1: Mula Kembara
Saban malam selepas makan malam, aku solat Maghrib. Usai solat seperti biasa, aku melabohkan punggungku di kerusi yang memang hanya aku sahaja yang akan menggunakannya. Tetapi malam itu, kerusi itu sudah dimiliki oleh Cheng, Mak Mok yang sudah berusia melingkar di situ. Hendak kualih punggungnya tidak sampai hati kerana Mok mengerekot memenuhi ruang tempat duduk.
"Rezeki kaulah Mok malam ni"
Aku beralih duduk di kerusi kayu yang turut menghadap ke hadapan skrin televisyen. Rancangan kegemaranku pada saat ini ialah Rancangan Berita, iaitu Buletin Utama, pertama kalau ada rezeki dapatlah menyaksikan anakanda Hawarizwana membaca berita, kedua memang inilah rancangan berita yang aku dengar sejak 30 tahun yang lalu terutama pada ketika itu yang membacanya ialah Christine Ling, seorang yang begitu arif tentang bahasa juga Wan Zaleha. Rasanya generasi sekarang tidak mengenali mereka. Merekalah pelopor membaca berita menggunakan bahasa baku yang mula diperkenalkan sejak awal 80-an lagi.
Menonton Berita di televisyen malam tadi, teringat 37 tahun yang lalu sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di Pulau Mutiara kerana beritanya tentang masyarakat di Pulau Pinang yang masih ingar mematuhi arahan PKP walaupun sudah memasuki hari ke-3. Antara pasar awam yang masih belum nampak ada perubahan ialah pasar awam Jelutong, dan Pasar Awam Air Itam di Pulau Pinang. Berita malam tadi, benar-benar menyorot gambaran masyarakat di kawasan Air Itam.
Berita malam tadi benar-benar mengimbau kembali 37 tahun yang lalu sewaktu tinggal di kawasan Jelutong, Pulau Pinang. Aku bergegas ke rak tempat letak album lama. Kuselak satu persatu dan akhirnya kutemui sekeping gambar yang semakin usang, iaitu gambar sahabat yang tinggal serumah di Jelutong, Pulau Pinang. Kini tinggal hanya kami bertiga sahaja, selepas salah seorang sahabat sejati kami pergi buat selama-lamanya setahun yang lalu.
"Eh, Dan kau nak ke mana?"
"Aku nak ke Penang la. Kau?"
"Sama."
"Eh, kau dapat maktab eh!"
"Aah, MPSP. Kau dapat jugak, eh?"
"Aah, sama."
"Cantik."
Tiba di perhentian Bas Butterworth kira-kira jam 6:00 pagi bersama-sama arwah Bak menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Beruntung kerana arwah sahabat turut sama pada pagi itu dan membuatkan hati ini kurang risau. Kami bersama-sama menaiki feri ke Pulau Pinang dengan tiket feri berharga 40 sen ketika itu (yang kemudiannya kami boleh tuntut perjalanan pergi dan balik maktab setiap kali cuti penggal persekolahan). Kami dipesan supaya tidak membuang tiket tersebut. Feri Pulau Redang menghampiri jeti, kami diminta bersiap sedia, dalam hati mengapa ke Pulau Redang dan bukannya ke Pulau Pinang, barangkali transit dahulu di sana kemudian baharu ke Pulau Pinang. Feri merapat, apabila pintu besi dibuka kami pun meluru menaiki feri tersebut. Itulah pertama kali aku menaiki feri yang selama ini hanya mampu melihatnya melalui buku teks sekolah sahaja. Arwah Bak setia menemani aku sepanjang masa. Ada ketikanya terbuai-buai apabila ombak memukul feri.
"Janganlah muntah pulak!"
"Sabarlah wahai hati."
"Eh, obor-obor!"
Indahnya perjalanan di atas feri. Rasa takut dan bimbang tiba-tiba menjelma. Manalah tahu feri ini karam atau bertebung dengan kapal. Feri Pulau Redang mencilok-cilok beberapa buah kapal dagang yang ada tulisan Cina, Rusia dan ada juga yang dari Amerika Latin. Perjalanan feri mengambil masa hampir 20 minit dan kamipun tiba di jeti Georgetown. Rupa-rupanya nama feri itu sekadar nama sahaja bukannya feri yang membawa ke destinasi seperti pada nama di badan feri.
Senior yang mengepali kumpulan kami tadi mengarahkan semua menaiki bas yang disediakan untuk ke Maktab Perguruan Seri Pinang bagi sesi pendaftaran di sana. Aku tidak sempat mandi, mahupun menukar pakaian kerana bagiku sudah tidak penting kerana mahu cepat-cepat sampai dan melihat keadaan sebenar tempat pengajianku untuk tempoh tiga tahun ini.
Perjalanan dari jeti Georgetown hingga ke Maktab hanyalah sekitar 10 minit sahaja. Walaupun masih dalam keadaan mamai selepas berada dalam bas selama lebih 10 jam, melihat kanan dan kiri jalan sepanjang jalan ke maktab sangat menggembirakan kerana dalam usiaku baharu 18 tahun ketika itu, inilah pertama kalinya aku mellihat tanah jajahan Sir Stamford Raffles yang pernah aku baca sebelum ini. Bangunannya batu lama dan kukuh, berderet2 kedai-kedai yang banyak bertulisan orang putih dan tulisan Cina.
"Sila turun semua. Selamat Datang ke Maktab Perguruan Sri Pinang."
"Ambil beg pakaian masing-masing dan sila ke dewan, ya!"
Dengan hati yang sayu bercampur baur, aku dan arwah Bak turun dari bas yang benar-benar berhenti di hadapan pintu pagar maktab. Aku menarik beg pakaian dan terus beramai-ramai menuju ke dewan maktab. Ramai yang memerhati, dan yang dapat aku lakukan ialah memberikan senyuman penuh persoalan.
"Apakah yang harus aku lakukan?"
"Di manakah tempat tinggalku?
"Apakah yang aku buat sekarang?"
"Bagaimanakah yang akan aku hadapi sepanjang berada di sini? Semuanya bercampur baur.
Akupun menarik beg pakaian dan berjalan beriringan dengan arwak Bak menuju ke dewan. Beg pakaian aku letakkan di tepi dewan dan aku keluarkan semua dokumen yang ada dan mulai beratur di dalam dewan. Aku melihat arwah Bak dari kejauhan, penat bercampur teruja. Penat kerana menemani aku sepanjang 10 jam dalam bas dan sejak pagi hingga sekarang masih bersama-sama. Teruja kerana inilah juga kali pertama arwah Bak datang ke maktab dan Pulau Pinang. Aku melihat dia berbual-bual dengan beberapa orang senior yang menyantuni kami sewaktu tiba di pintu pagar.
"Sila isikan dokumen ini, kemudian serahkan ke kaunter 6," kata seorang kakak senior yang sedari tadi melayani semua pelatih yang menuju ke mejanya. Di hadapanku ialah arwah Hamdan, di belakangku ialah Said dan diikuti oleh Men.
Selesai mengisi borang kami beratur kembali di kaunter 6 dan menyelesaikan semua urusan yang perlu. Sedikit taklimat diberikan selepas itu. Beberapa helaian kertas dan sebuah fail serta tag nama diberikan kepada aku dan kawan-kawan. Selesai semua urusan, kami diminta untuk mengambil beg masing-masing dan akan ke tempat penginapan. Aku dan arwah Bak naik semula bas yang membawa kami pagi tadi dan bas tersebut membawa kami ke satu kawasan yang dipanggil Jelutong. Maka bermulalah perjalanan hidup sebagai seorang pelatih.
Setibanya kami di suatu kampung, maka kamipun diminta turun dan membawa beg masing-masing. Hanya arwah Bak sahaja yang menemani aku kerana arwah Hamdan, Said dan Men tidak ditemani oleh sesiapa. Berdasarkan senarai nama yang dibacakan oleh senior, aku diarahan untuk ke sebuah rumah kayu yang kukira sudah mencecah usia lebih 50 tahun tahun. Gambaran rumah ini seperti dalam filem-filem arahan P Ramlee dengan situasi kampung yang berjiran, sama seperti yang aku pernah lihat di kaca televisyen hitam putih di rumah. Rumah kayu beratap zink dan bertangga batu kukuh, dan kami dipersilakan untuk naik ke atas rumah. Di sinilah rumah kami selama kami berada di Jelutong. Aku tidak kisah dengan suasana rumah, kerana rumahku lebih kurang sahaja bentuknya dan aku boleh hidup dengan keadaan ini. Rupanya yang sama-sama beratur sewaktu di dewan tadilah anggota yang mengisi rumah tersebut. Kami berkenalan dengan lebih dekat antara satu sama lain tetapi masing-masing masih menyimpan rahsia diri kerana masih asing lagi.
Arwah Bak memberitahu bahawa dia hendak balik dengan menaiki bas dan perlu beredar segera. Aku memeluknya erat-erat dan dia berpesan supaya menjaga diri, jaga solat dan belajar rajin-rajin. Aku menghantar arwah Bak ke pondok menunggu bas di hadapan rumah, kerana rupanya dia sudah belajar cara untuk pulang daripada senior yang ditemui sewaktu aku mendaftarkan diri pagi tadi. Apabila bas tiba, aku dapat melihat dengan jelas tulisan JETI pada kepala bas, Betullah bas itu nanti akan terus ke jeti. Bak menaiki bas, aku melambai-lambai dari luar bas dan berdoa agar Bak akan selamat sampai ke Batu Pahat. Tinggallah aku di bumi Jelutong, bumi asing buatku, namun benarlah bahawa berhijrah itu ada hikmahnya.
Comments
Post a Comment